Ke arah Meningkatkan Tahap Profesionalisme Guru dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Abad ke-21
Profesion perguruan atau bekerja sebagai guru adalah antara beberapa jenis pekerjaan yang penting dalam proses pembangunan manusia,,masyarakat dan negara. Profesion perguruan merupakan profesion paling utama di dalam proses penyerapan ilmu pengetahuan kepada individu dan masyarakat.
“Sebagai golongan yang berada di barisan paling hadapan dalam menjayakan wawasan negara, peranan guru amat penting untuk memastikan nilai nasional dapat disempurnakan”. Dipetik daripada ucapan Y.B. Dato’ Sri Hishamuddin bin Tun Hussein, dalam Perutusan Hari Guru 2006. Ini mengukuhkan lagi tahap keprofesionalisme seorang yang bergelar guru.
Dalam era globalisasi sekarang, peranan guru menjadi semakin kompleks dan mencabar. Golongan guru hendaklah memastikan martabat keguruan sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa ke tahap yang lebih tinggi dan dihormati seterusnya dapat merealisasikan misi nasional kerajaan.
Mengikut Kamus Dewan,’profesion’ ialah pekerjaan terutamanya yang memerlukan pelajaran yang tinggi dan latihan yang khas misalnya dalam bidang undang-undang, senibina, perubatan, perakaunan dan lain-lain. ‘Martabat’ pula ialah kedudukan pada mata masyarakat, darjat, pangkat, tingkat. Dari pengertian tersebut memberi makna bahawa imej profesion keguruan samada tinggi atau rendah, jaya atau gagal dilihat dan dinilai oleh masyarakat dari sudut peribadi para guru dan hasilnya kepada generasi pelajar.
Antara usaha yang perlu diambil bagi meningkatkan tahap profesionalisme dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di sekolah-sekolah ialah membangunkan modal insan demi memacu transformasi negara ke arah keupayaan ilmu pengetahuan selari dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Melahirkan modal insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek adalah sesuatu yang tidak mustahil untuk dicapai melalui mata pelajaran ini kerana rakyat yang cergas tubuh badannya akan melahirkan minda yang cerdas. Bagi merealisasi impian ini sebagai usaha ke arah meningkatkan tahap profesionalisme ini, adalah menjadi tanggungjawab saya menyiapkan diri sendiri dalam pelbagai bidang selari dengan perkembangan semasa dalam era globalisasi ini.
Bagi memperkasakan tangungjawab ini, saya haruslah meningkatkan ilmu pengetahuan dan kesiapsiagaan diri dengan meneroka bidang baru sebagai langkah untuk menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan setara dengan mata pelajaran lain yang ditawarkan di sekolah. Penerokaan dalam bidang ICT merupakan salah satu cabang yang telah terbukti dapat meningkatkan profesionalisme seseorang guru tidak kira mata pelajaran apa yang mereka ajar. Kaedah pengajaran secara maya dapat menarik minat pelajar untuk belajar dengan lebih berkesan.
Dalam usaha meningkatkan martabat profesionalisme keguruan, pakatan bijak semua pihak juga perlu digerakkan samada secara langsung atau tidak langsung. Pihak-pihak tersebut ialah kerajaan, khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia serta institusi-institusi yang berkaitan, guru, pelajar, anggota masyarakat , pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kesatuan-kesatuan guru dan pihak swasta. Selaras dengan itu, penglibatan guru secara total dalam semua program yang dianjurkan oleh pihak-pihak tersebut terutama sekali anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia, adalah sesuatu yang amat dituntut. Kesediaan guru dalam meningkatkan profesion keguruannya adalah perkara pokok, yang perlu diambil kira kerana, tanpa komitmen guru itu sendiri, walau apa yang dirancang tidak akan menjadi kenyataan sekiranya guru tersebut tidak merebut peluang yang datang.
Kesimpulannya, seorang guru tidak mungkin dapat mempertingkatkan keprofesionalisme keguruannya sekiranya dia sendiri tidak mampu memartabatkan profesion keguruan itu sendiri.
Pn Faridah Seman
PSR(PM)/PJPK/GPM PSS BESTARI SMKJ18
No comments:
Post a Comment